BTS Media

Kanak-kanak perempuan 9 tahun diselamatkan, didakwa dikurung dalam stor sepanjang cuti sekolah

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun diselamatkan selepas dipercayai dikurung di dalam sebuah stor di belakang rumah keluarga angkatnya sepanjang cuti persekolahan baru-baru ini dan hanya diberi makan dua kali sehari.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman, berkata bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan pada pukuull 7.22 malam semalam berhubung pengabaian terhadap kanak-kanak tersebut.

Menurut beliau, laporan itu mendakwa mangsa dikurung di dalam sebuah stor yang terletak di belakang sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Seremban.

Beliau berkata susulan laporan yang diterima, pihak polis telah menyelamatkan mangsa dan menahan ibu angkatnya bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dipelihara oleh keluarga berkenaan sejak berusia setahun lapan bulan.

Mohd Yatim berkata, sepanjang cuti sekolah dari bulan Mei hingga Jun, mangsa dipercayai ditempatkan di dalam stor yang tidak berkunci di belakang rumah dan hanya diberikan makanan sebanyak dua kali sehari.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk menggunakan tandas sebelum diarahkan kembali ke stor berkenaan.

Selain itu, siasatan mendapati mangsa sering dimarahi dan dipukul oleh ibu angkatnya, termasuk dakwaan mengambil makanan pada waktu malam.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan perubatan.

Seorang wanita berusia 46 tahun telah ditahan di rumah tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata pihak polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulfitri Abd Razak, di talian 06-6033222.

-BTSMedia.my

Leave a Comment