BTS Media

Lelaki 84 tahun cedera kren tumbang hempap bumbung rumah jagaan warga emas

SEORANG lelaki berusia 84 tahun cedera di kepala selepas sebuah kren tumbang dan menghempap bumbung asrama sebuah rumah jagaan warga emas Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata mangsa dibawa ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.38 tengah hari.

Menurutnya, kren tersebut dipercayai hilang kestabilan ketika diletakkan di atas tanah tidak rata sebelum tumbang lalu menghempap bumbung asrama yang menempatkan penghuni rumah jagaan terbabit.

Seramai 49 orang, terdiri daripada penghuni dan pekerja, berada di premis itu ketika kejadian berlaku.

Daripada jumlah itu, 20 penghuni lelaki, termasuk mangsa yang cedera, manakala 17 lagi penghuni wanita dan 11 pekerja, termasuk pemandu kren.

Penghuni serta pekerja lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

John berkata anggota bomba turut memantau kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan, selain memasang tali penghadang untuk mengawal pergerakan orang ramai dan menghalang kemasukan pihak tidak berkenaan.

Operasi menyelamat dan kawalan keselamatan itu berjaya dikawal pada puku 1.15 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.45 petang.

Operasi berkenaan turut melibatkan polis dan petugas KKM.

-BTSMedia.my

Leave a Comment