SEORANG warga emas maut akibat lemas di dalam keretanya yang ditemukan di ladang kelapa sawit di jalan utama Felda Selancar 2, Rompin, selepas banjir surut.
Ketua Polis Rompin, Mohd Azahari Mukhtar, berkata pihaknya dimaklumkan tentang penemuan Abdullah Satar, 73, yang merupakan peneroka di Felda itu pada pukul 6.40 petang semalam.
“Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lepas dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.
“Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya,” katanya ketika dihubungi, lapor Bernama.
Polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dengan bantuan penduduk telah mengeluarkan mayat mangsa.
Katanya, bedah siasat di Hospital Muadzam Shah malam tadi mengesahkan kematian Abdullah disebabkan lemas.