KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memperhalusi cadangan untuk menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas seperti dilakukan negara lain.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata cadangan itu mampu dilakukan berikutan populasi warga emas tidak ramai iaitu kira-kira 3.5 juta atau tujuh peratus ketika ini.
“Kita akan membawa cadangan ini ke mesyuarat (KKM). Ini kerana pada 2030, warga emas dijangka bertambah 14.3 peratus iaitu seramai 5.2 juta orang.
“Realiti demografi ini mempunyai implikasi serius kerana penuaan sering dikaitkan dengan permulaan dan perkembangan penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung.
“Pertambahan jumlah warga emas, akan menyebabkan penyakit kronik meningkat. Jika gaya hidup tidak sihat berterusan, dianggarkan orang ramai akan menghabiskan 9.5 tahun jangka hayat mereka dalam keadaan kesihatan yang buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen ‘Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 Tahun’ anjuran Immunise4Life (IFL) semalam (7 Sept).
Dr Azmi berkata, KKM juga meletakkan agenda negara menua sebagai salah satu fokus dalam Kertas Putih Kesihatan.
“Malaysia sedang menuju populasi penuaan pada 2030 dan penting kita mewujudkan lebih ramai pakar geriatrik dan fasiliti khusus untuk golongan warga emas dan kita akan membentangkannya supaya mendapat tumpuan lebih dalam Kertas Putih (Kesihatan).
“Malah, kita sebenarnya sudah buat persediaan ke arah itu dengan pelaksanaan program saringan kesihatan untuk golongan 40 tahun ke atas di klinik kesihatan.
“Perkara itu akan diteruskan dan diperkasakan seiring dengan hasrat kerajaan menerusi Agenda Malaysia Sihat,” katanya.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata sistem imun badan akan menjadi lemah seiring peningkatan usia.
“Jadi, sistem imun akan menjadi lemah dan fungsi paru-paru kita juga akan merosot. Keadaan ini meningkatkan kecenderungan untuk mengalami penderitaan atau kematian daripada kesan-kesannya.
“Jadi influenza boleh menjadi masalah terutama sekali kepada warga emas yang mempunyai kesihatan kronik sedia ada.
“Berbanding mereka tidak menghidap diabetes, penghidap penyakit diabetes adalah enam kali ganda lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan tiga kali ganda lebih berkemungkinan untuk mengalami kematian akibat komplikasi yang berkaitan dengan influenza,” katanya.
Mengulas lanjut, Influenza juga boleh memburukkan lagi keadaan diabetes seseorang dan mencetuskan kecemasan diabetes.
“Bagi individu dewasa berumur lebih 40 tahun tanpa sejarah penyakit kardiovaskular, keadaan ini boleh mencetuskan serangan jantung atau strok dalam tempoh tiga hari pertama jangkitan influenza.
“Jika individu yang lebih tua mempunyai penyakit arteri koronari, kegagalan jantung atau penyakit jantung yang lain, serangan influenza boleh menjadi terlalu teruk untuk dilawan,” katanya.