MANGSA kemalangan akibat pemandu mabuk bakal terima pampasan tanpa saman sivi
Mangsa kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah berkemungkinan menerima pampasan secara terus melalui prosiding jenayah, tanpa perlu memfailkan saman sivil berasingan.
Cadangan itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang bertujuan memudahkan mangsa mendapatkan ganti rugi daripada pesalah yang disabitkan kesalahan.
Ketika ini, mangsa perlu melalui proses mahkamah sivil yang berasingan untuk menuntut pampasan, meskipun pemandu terbabit berdepan tindakan jenayah. Proses berkenaan boleh mengambil masa bertahun-tahun dan membebankan mangsa yang tidak berkemampuan menanggung kos guaman.
Menerusi cadangan baharu itu, mahkamah akan diberi kuasa untuk memerintahkan pembayaran pampasan kepada mangsa ketika menjatuhkan hukuman terhadap pesalah.
Pendekatan berkenaan disifatkan selaras dengan prinsip sejagat yang turut menekankan keadilan melalui pembayaran ganti rugi kepada pihak yang teraniaya, termasuk prinsip dalam Islam.
Kertas dasar Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan dilaporkan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri sebelum pembentangan Belanjawan 2027, manakala Kementerian Pengangkutan sedang memperincikan draf pindaan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bahawa undang-undang berkenaan akan dipinda bagi mewajibkan pemandu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.
RUU itu disasarkan untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen pertama tahun depan, dengan beberapa aspek teknikal perlu diperhalusi sebelum proses berkenaan dimuktamadkan.
-BTSMedia.my



