BTS Media

Pendaki hilang Jaslinda ditemui selamat berhampiran kampung Orang Asli

PENDAKI yang hilang sejak 23 Mei lalu, Jaslinda Saludin, 49, telah ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah, pada petang hari Sabtu (6 Jun), 14 hari selepas kehilangannya dilaporkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Sayani Saidon, berkata mangsa ditemui kira-kira pukul 3 petang oleh seorang penduduk tempatan bernama Nazri Bah Eng di kawasan sekitar kampung tersebut.

Beliau berkata, berikutan penemuan itu, Nazri telah menghubungi anak saudaranya di Johor dan meminta agar perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sayani turut memaklumkan bahawa mangsa pada masa itu sedang berada di kediaman Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Komander Datuk Alwi Zainal Abidin, mengesahkan penemuan tersebut apabila dihubungi oleh Sinar Harian, dan menyatakan bahawa kenyataan media rasmi berhubung kejadian itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Sebelum itu, sebuah foto yang dipercayai menunjukkan Jaslinda di sebuah rumah di kawasan berkenaan turut tular di media sosial.

Dalam pada itu, Jaslinda sebelum ini memulakan pendakian laluan Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua orang pemandu gunung pada pukul 2 pagi, 23 Mei lalu, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, yang mengalami masalah kesihatan dan berhenti, namun Jaslinda telah meneruskan perjalanannya menuju ke puncak gunung. Beliau dilihat buat kali terakhir oleh seorang pemandu gunung pada 24 Mei lalu pada pukul 7.30 pagi.

-BTSMedia.my

Leave a Comment