BTS Media

PN tidak boleh pinggirkan Bersatu, kemudian tuntut kesetiaan membuta tuli

SIKAP Perikatan Nasional (PN) berhubung pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) oleh Bersatu serta hasrat parti itu bertanding menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri Melaka bukan sahaja tidak munasabah, malah memperlihatkan keangkuhan politik yang sukar diterima. Setelah Bersatu dipinggirkan dalam gabungan itu, kini PN dengan selamba menuntut parti berkenaan mendapatkan kebenarannya sebelum membuat keputusan politik sendiri. Sejak bila sesebuah gabungan politik menjadi medan untuk satu pihak mengarah dan pihak lain sekadar menjadi Tak Turut?

Kenyataan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, bahawa Bersatu perlu mendapatkan persetujuan gabungan untuk menggunakan logonya sendiri di Melaka menimbulkan persoalan lebih besar: Mengapa Bersatu perlu terus meminta restu PN sedangkan gabungan itu sendiri gagal menghormati kedudukan dan kepentingan politik Bersatu?

Sebuah gabungan tidak boleh meminggirkan salah satu parti komponennya, kemudian mengharapkan kesetiaan tanpa soal. PN juga tidak boleh menggunakan perlembagaan gabungan secara selektif semata-mata untuk menegaskan kuasa terhadap parti yang selama ini seolah-olah diketepikan.

Jika PN sendiri tidak lagi melayan Bersatu sebagai rakan gabungan yang setara, mengapa Bersatu perlu terus berlagak seolah-olah kedudukannya masih dihormati sedemikian rupa?

-BTSMedia.my

Leave a Comment