BTS Media

Ahli Parlimen Bersatu tidak rancang undi tidak percaya terhadap PM

Oleh Zainal AS Rashid

ANGGOTA parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak bercadang untuk melakukan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata belum ada perbincangan mengenai perkara itu walaupun Anwar Ibrahim telah mencabar pembangkang berbuat demikian.

Razali juga berkata mereka tidak membincangkan tentang jumlah sokongan untuk kononnya bertujuan menjatuhkan kerajaan.

“Kenyataan perdana menteri itu ditujukan kepada ketua pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), tetapi beliau tidak pernah bercakap tentang sama ada kami mempunyai sokongan yang cukup (untuk menggulingkan kerajaan).

“Kenapa Anwar rasa perlu untuk memikirkan tentang khabar angin dan gosip (yang  disebarkan) di luar arena politik? Dia tidak sepatutnya memikirkan tentang jumlah sokongan yang mungkin kami miliki kerana kerajaannya kuat dan stabil, dengan 148 kerusi.

“Sukar bagi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan dengan jumlah seperti itu. Hanya jika ketua pembangkang membuat kenyataan bahawa kami mempunyai jumlah (sokongan banyak), baru Anwar patut cabar supaya menunjukkan bukti,” katanya kepada Berita Harian.

Semalam, Anwar mencabar pihak yang mendakwa pembangkang mendapat sokongan yang cukup daripada ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan bagi memfailkan usul undi tidak percaya di Parlimen bersidang pada hujung bulan ini.

Razali berkata jika Anwar ragu-ragu tentang sokongan kepada dirinya, beliau boleh meminta diadakan undi percaya terhadap kepimpinannya dan bukan dengan cara mencabar pihak lain.

-BTS Media

Leave a Comment