KERAJAAN Pahang belum memberikan peruntukan kepada Adun pembangkang selepas PRU15 November tahun lalu walaupun dititahkan berbuat demikian, dakwa Rosli Abdul Jabar.
Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Adun pembangkang kini terpaksa menggunakan dana daripada gaji dan sumbangan kepada parti untuk membantu rakyat di kawasan mereka.
“Sehingga kini pihak kami (Adun pembangkang Pahang) belum menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan sebagaimana dititahkan pemangku Raja Pahang.
“Buat masa ini semua perbelanjaan sebagai Adun seperti sewa pejabat, pekerja pejabat Adun dan sumbangan membantu masyarakat menggunakan duit gaji Adun sendiri dan melalui sumbangan ahli kepada parti,” kata Adun Tanjung Lumpur kepada FMT.
Pada Mei lalu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah menitahkan kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada wakil rakyat pembangkang.
Baginda bertitah, hampir 66 tahun merdeka landskap politik perlu berubah dengan memberi peruntukan yang adil kerana wakil pembangkang juga dipilih pada PRU15.
Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing menang 17 kerusi DUN Pahang, manakala Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi.
Kerajaan negeri ditubuhkan hasil gabungan BN dan PH.
Dalam pada itu, Rosli berkata sementara menunggu peruntukan kerajaan negeri, kebanyakan wakil rakyat pembangkang terpaksa mencari inisiatif lain termasuk menggerakkan pasukan mencari dana sumbangan bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan mereka terus dijaga.