BTS Media

Nafi pembangkang peruntukan boleh makan diri masa PRN akan datang – BERSIH

GABUNGAN Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mengkritik kekurangan peruntukan dana kawasan untuk ahli parlimen pembangkang dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 semalam.

BERSIH mengingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2022 termasuk memberikan peruntukan pembangunan kawasan  yang saksama kepada semua ahli parlimen.

“Perkara ini adalah dikesali kerana Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah terlepas peluang untuk menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat,” kata jawatankuasa pemandu badan pemantau pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, tambah BERSIH, sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pembangkang duduk bersama untuk merundingkan undang-undang untuk menyediakan peruntukan yang saksama.

BERSIH menyatakan Perikatan Nasional (PN), dengan 74 Ahli Parlimen, mewakili kira-kira 30 peratus (4,666,529 pengundi) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dan dengan ketiadaan peruntukan adalah sama dengan tidak menghormati pilihan pengundi dan hak untuk mengundi wakil pilihan mereka.

“Peruntukan diperlukan oleh MP untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan persekutuan atau negeri.

“Peruntukan juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos operasi pusat khidmat rakyat,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen PN Shahidan Kassim (Arau) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) mengkritik kerajaan kerana tidak memperuntukkan sebarang dana kawasan kepada ahli parlimen pembangkang

BERSIH menyatakan bahawa menafikan peruntukan kepada pembangkang telah lama menjadi taktik oleh kerajaan untuk “menghukum” pembangkang, bertujuan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi terhadap wakil pembangkang.

Apabila ini berlaku, katanya, dana yang diperuntukkan kerajaan sebaliknya disalurkan kepada ‘penyelaras’ daripada kalangan parti kerajaan untuk meraih sokongan.

“Taktik sebegini telah digunakan sebelum ini untuk menggoda wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti-parti sebagaimana yang kita lihat pasca kejatuhan BN selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan MOU antara kerajaan Ismail Sabri dan PH pada 13 September 20121.

“Malah keadaan ini masih berterusan di Sabah. Siapa pun yang benar-benar membenci Langkah Sheraton, mereka sepatutnya membenci diskriminasi peruntukan terhadap pembangkang, bukan menjerit ketika menjadi mangsa tetapi kemudiannya melakukan perkara yang sama apabila berkuasa,” katanya.

Menafikan peruntukan kepada pembangkang juga boleh menjadi taktik makan diri semasa pilihan raya negeri akan datang, kata BERSIH lagi.

“Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini,” katanya.

Tegas BERSIH, jika Anwar tidak menangani isu itu, ketua pembangkang Hamzah Zainudin harus menyediakan rang undang-undang persendirian mengenai peruntukan yang saksama selepas maklum balas daripada kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/656448

Leave a Comment