Oleh Ahmad Abd Hamid
Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac. Parti itu menang 40 daripada 56 kerusi yang ditandingi, satu kejayaan memberangsangkan sebagai bekalan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Namun adakah kemenangan ini gambaran sebenar bahawa BN kini kembali kukuh serta mendapat sokongan ramai? Atau adakah sebenarnya kerana karisma pembangkang, terutama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) terhakis akibat berpecah?
Menurut perincian, jumlah pengundi berdaftar di Johor ialah 2,599,797 orang. Namun yang keluar mengundi hanyalah 1,426,573, bererti yang tidak mengundi 1,173,224. Pengundi yang menyokong BN 599,753 sementara yang menolak BN 826, 820. Daripada segi peratus, yang mengundi BN ialah 43.11 peratus dan yang menolak 56.89 peratus.
Bermakna daripada segi undi popular, pembangkang meraih undi lebih tinggi. Bagaimana pun kerana sistem pilihan raya negara ini tidak berdasar undi popular, tetapi undi majoriti di sesebuah kawasan pilihan raya, maka BN yang mendapat majoriti di 40 kawasan adalah pemenang.
Nampak aura yang dipamerkan pembangkang apabila bersatu dan berganding bahu menewaskan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagai susut sedikit demi sedikit. Ini diserlahkan dalam PRN Sarawak, Melaka dan Johor.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus nampak layu setelah prestasi buruk di Sarawak dan Melaka. Jika selama ini ia dianggap sebagai teras kepada Pakatan Harapan (PH), PKR kini bagai dahan yang rapuh untuk bergayut. Parti itu bertanding 20 kerusi di Johor tetapi menang hanya satu.
Sebaliknya rakannya dalam PH iaitu DAP, dilihat masih kuat cengkaman dengan memenangi 10 daripada 14 ditandingi. Amanah pula hanya menang satu kerusi daripada 16 ditandingi.
Perikatan Nasional hanya menang tiga kerusi dengan Bersatu menang dua daripada 33 kerusi ditandingi sementara Pas menang satu kerusi daripada 15 ditandingi. Gerakan gagal menang sebarang kerusi daripada lapan ditandingi.
Parti Muda yang baru pertama kali masuk gelanggang mampu meraih satu kerusi daripada tujuh ditandingi. Namun Pejuang yang juga pertama kali turun padang gagal menang sebarang kerusi daripada 42 ditandingi.
Warisan yang melebar sayap ke Semenanjung bertanding di enam kerusi tetapi tewas semua. Parti Putra bertanding di satu kerusi juga tewas.
Pembangkang berjaya disatukan ketika menghadapi PRU-14 di bawah panji-panji Pakatan Harapan hasil usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semua bersetuju menggunakan logo PKR sebagai logo tunggal. Gabungan ini berjaya menyingkirkan BN selepas enam dekad berkuasa.
Sayangnya gabungan ini kemudian terlerai dan kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Parti-parti gabungan membawa haluan sendiri. Ketika bertanding dalam pilihan raya negeri, masing-masing ingin menunjuk kekuatan dengan bersaing sesama sendiri menentang BN.
Hasilnya dapat dilihat dalam PRN Melaka. Bersatu dan Pas bersaing sebagai Perikatan Nasional. PKR dan DAP mewakili Pakatan Harapan. Hasilnya mengecewakan. Pembangkang kecundang dan punca utama dikatakan kerana undi pecah.
Di samping itu, peratus pengundi yang rendah di Melaka dianggap sebagai menyumbang kepada prestasi teruk pembangkang. Andaian ini mungkin benar terutama jika yang tidak keluar mengundi adalah penyokong pembangkang.
Namun nampaknya PRN Melaka tidak memberi pengajaran kepada pembangkang yang masih terus berpecah dan memberi kelebihan kepada BN. Malah lebih banyak parti mencuba nasib dalam PRN Johor yang menambahkan lagi pecah undi.
Tewas di Melaka tidak dijadikan iktibar. Pembangkang terus tidak bersatu seperti ketika menghadapi PRU ke-14. Terbukti di Johor ia semakin lemah sementara BN kelihatan semakin kuat.
Sekali lagi peratus pengundi yang rendah, sekitar 50 peratus, dianggap penyumbang kepada kekalahan pembangkang di Johor. Sama ada realiti atau penyedap hati, harus dikaji kenapa jumlah pengundi dalam PRN sangat merosot.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, ini berkemungkinan kerana ramai, terutama warga tua, bimbang keluar mengundi kerana Coviod-19. Benarkah? Semua orang tahu PRN Johor didakan ketika jangkitan Covid-19 masih tinggi.
Sebenarnya ramai yang sudah malas dan tidak peduli untuk mengundi. Barangkali sudah letih pergi mengundi dalam pilihan raya yang dirasakan tidak perlu pun.
Namun parti seperti PKR dan Bersatu khususnya mesti membuat analisis mendalam terhadap kekalahan ini. PKR telah melalui kekalahan teruk dalam tiga PRN. Mungkinkah perlu bertukar nakhoda untuk menghadapi badai lautan PRU ke-15 yang lebih bergelora? Mungkin pengemudi baharu mampu membetulkan haluan. Siapa dia, terpulang kepada ahli-ahli parti.
Bagi Perikatan Nasional, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan kesediaan untuk berundur jika itu yang dikehendaki oleh parti komponen. Apa penerimaan parti gabungan PN? Perlukah Muhyidin berundur sekarang? Siapa pula calon pengganti jika berundur?
Jika pembangkang mahu lebih garang pada PRU-15, mereka tiada banyak pilihan selain bersatu. Jangan bercakaran dan asyik memikirkan kepentingan parti sendiri, apatah lagi jika sudah berkuasa, seperti yang berlaku pasca PRU-14. Ingatlah, bersatu akan teguh, retak akan membawa belah. Â Tepuk dada tanya selera.
 -BTS Media