BTS Media

PN namakan Hamzah Zainudin sebagai ketua Pembangkang parlimen

Oleh Yusoff A. Shariff

SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dinamakan oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai ketua Pembangkang parlimen di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai ketua ahli parlimen PN, manakala Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang akan menjadi timbalannya di dewan rakyat.

“Dalam mesyuarat PN baru-baru ini, kami memutus untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas dalam kalangan semua 74 Ahli Parlimen PN, di mana kami telah bersetuju untuk melantik Ahli Parlimen Larut sebagai ketua Pembangkang PN.

“Tan Sri Muhyiddin dan presiden PAS masing-masing akan menjadi ketua dan timbalan ahli parlimen PN. Sebagai ahli parlimen Kota Baru, saya telah dilantik sebagai whip untuk PN.

“Kami juga mengekalkan pendirian sebelum ini bahawa PN tidak akan menyertai kerajaan baharu dan akan menjadi Pembangkang di Dewan Rakyat,” kata Takiyuddin kepada media pada majlis kesyukuran DUN Bunut Payong, di Kota Baru, hari ini.

Beliau berkata PN telah mengemukakan nama ketua Pembangkang itu kepada Parlimen baru-baru ini.

Mengenai nama speaker dan timbalan Dewan Rakyat, Takiyuddin berkata calon gabungan itu akan diumumkan oleh pengerusi PN.

“PN sudah memutuskan nama, tetapi gabungan itu akan menyerahkan kepada pengerusi PN untuk mengumumkannya.”

Pada majlis itu, Takiyuddin turut menerima lebih 200 permohonan keahlian Pas daripada warga Wakaf Che Yeh.

-BTS Media

Leave a Comment