PERIKATAN Nasional (PN) menerima keputusan pembubaran Parlimen hari ini kerana ia telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berlandaskan Perlembagaan negara, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Apa sebab pun, ia keputusan selaras Perlembagaan dan kami hormatinya.
“Walaupun PN sebelum ini memberikan pandangan situasi semasa tidak berapa sesuai diadakan PRU15 tahun ini, tetapi keputusan telah pun dibuat dan kita hormati.
“Apa yang penting kita telah bersiap siaga sejak dahulu lagi. Cuma kita harap proses pilihan raya kali ini tidak akan terganggu dengan keadaan banjir yang sudah pun bermula.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT supaya situasi (banjir) tidak buruk untuk rakyat melaksanakan tanggungjawab mengundi,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran PN Pahang di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.
Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dalam pada itu berharap supaya tidak berlaku banjir buruk yang sekali gus boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi.
“Itu kita harap tidak berlaku, jika berlaku juga banyak kerja kena buat termasuk jika perlu angkut kena angkut pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Berhubung senarai calon PN, beliau berkata, ia masih dalam tempoh perundingan dan dijangka selesai dalam masa terdekat di peringkat Pusat dan PN Pahang.
“Manifesto PN akan diumumkan kelak, kita akan umum yang terbaik untuk rakyat,” katanya.