BTS Media

PM umum Parlimen ke-14 bubar, seterusnya PRU15

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung melalui TV dan menerusi Facebook ‘Live’ Perdana Menteri.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” kata beliau.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Tempoh mandat kerajaan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

-BTS Media

Leave a Comment