BTS Media

Hentikan teka-teki, umum tarikh PRU15, Muhyiddin gesa PM

Oleh Zainal AS Rashid

MALAYSIA berdepan masa depan yang tidak menentu berikutan desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan tarikh tepat bila pilihan raya akan diadakan bagi menangani ketidaktentuan ini.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat bahagian Bersatu Pagoh di Dewan Geliga di Gersik, Tangkak pada Sabtu (8 Okt).

Beliau berkata, PN telah menyatakan bahawa PRU15 tidak sepatutnya diadakan dalam masa terdekat kerana terdapat perkara lebih mendesak perlu diutamakan, sambil merujuk kepada banjir besar yang melanda negara hampir setiap tahun hingga mengakibatkan banyak kemusnahan dan kematian.

Menurut beliau lagi, ini pula memandangkan beberapa negeri telah menyatakan keengganan membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing sekiranya Parlimen dibubarkan tidak lama lagi untuk PRU15, dan menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berbelanja sebanyak RM2 bilion.

Beliau berkata jika mereka boleh bersabar sedikit lagi, negara boleh menggunakan jumlah itu untuk membantu rakyat.

Tambah Muhyiddin, Ismail Sabri tidak sepatutnya mendengar cakap lima pemimpin teratas UMNO, yang mahu PRU15 diadakan tidak lama lagi, kerana mereka bukan sebahagian daripada kerajaan.

“PRU15 tidak sepatutnya diadakan sebelum Mac tahun depan. Rakyat akan melihat bahawa Perdana Menteri memahami situasi mereka kerana ramai daripada mereka masih berdepan dengan kesan pandemik Covid-19,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment