SEHINGGA pukul 9.30 pagi, seramai 2,827 mangsa daripada 838 keluarga ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri yang terjejas akibat banjir.
Data daripada portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menunjukkan negeri yang masih membuka PPS ialah Johor, Pahang, Sabah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Sarawak.
Pahang merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,234 orang, diikuti Sabah seramai 221 orang, Johor (120) dan Terengganu (108). Secara keseluruhan, jumlah kanak-kanak termasuk bayi yang berada di PPS seramai 1,012 orang.
Di Johor, seramai 120 mangsa banjir di Mersing telah dipindahkan ke PPS bermula hari ini, melibatkan 31 keluarga. Pecahan mangsa terdiri daripada 65 orang dewasa, 49 kanak-kanak dan empat bayi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan bahawa beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing berada dalam kategori Tahap Buruk berikutan hujan berterusan yang dijangka sehingga esok. Keadaan itu berpotensi mencetuskan banjir besar dan banjir kilat, selain peningkatan mendadak paras sungai serta gangguan kepada jalan utama dan operasi lapangan.
Sementara itu, dua sungai masing-masing di Pahang dan Sarawak telah melepasi tahap bahaya susulan hujan lebat berterusan. Di Pahang, Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan, melebihi tahap bahaya sebanyak 1.36 meter, manakala Sungai Mentiga di Chini, Pekan meningkat 0.4 meter. Kedua-dua sungai itu tidak menunjukkan perubahan trend setakat jam 5.30 pagi.
Di Sarawak pula, paras air di stesen Long Teru, Miri, meningkat melepasi tahap bahaya dengan kenaikan 0.3 meter dan menunjukkan trend tidak berubah, manakala di Marudi, Miri, paras sungai melebihi tahap bahaya sebanyak 0.13 meter dengan trend menurun.
Beberapa sungai lain di Pahang turut melepasi tahap amaran, antaranya Sungai Kenau di Sungai Rimau, Sungai Soi di Jalan Pekan–Kuantan, Sungai Chegar Perah di Lipis serta Sungai Lepar di Gelugor, Kuantan.
Selain itu, beberapa sungai di negeri lain turut berada pada tahap amaran, termasuk Sungai Besut di Besut, Terengganu; Sungai Muar di Segamat, Johor; Sungai Kelantan di Kuala Krai; Sebatan di Betong, Sarawak; Sungai Siput di Alor Gajah, Melaka; Sungai Slim di Muallim, Perak; serta Sungai Gemas di Tampin, Negeri Sembilan.
Amaran Hujan Lebat Berterusan tahap Buruk masih berkuat kuasa sehingga esok di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Johor, manakala Amaran Hujan Berterusan tahap Waspada melibatkan kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
-BTSMedia.my



