BTS Media

Hujan lebat, banjir kilat di UiTM Puncak Alam

HUJAN lebat berterusan petang hari Khamis mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, termasuk kawasan perumahan berhampiran, sehingga menyebabkan laluan jalan raya dinaiki air dan mengganggu pergerakan trafik.

Kejadian itu turut dikongsikan beberapa pengguna media sosial menerusi platform Threads yang memuat naik video memaparkan keadaan air bertakung dan melimpah ke kawasan sekitar kampus.

Antara rakaman yang tular menunjukkan kawasan menunggu bas di kampus UiTM dinaiki air sehingga paras betis, manakala satu lagi video memaparkan air berlumpur melimpah ke atas jalan raya. Rakaman berasingan turut menunjukkan banjir kilat di kawasan yang dipercayai berhampiran Fakulti Alam Bina.

Kejadian sama berlaku di Taman Sri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh, apabila air melimpah ke jalan utama. Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zamron Mat turut mengingatkan penduduk supaya mengalihkan kenderaan ke tempat lebih selamat dan mengutamakan keselamatan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, mengesahkan pihaknya menerima tiga panggilan berkaitan kejadian banjir kilat pada hari Khamis, membabitkan Kampung Johan Setia, kampus UiTM Puncak Alam dan Taman Sri Alam, Saujana Utama.

Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta menilai keadaan banjir.

Di Kampung Johan Setia, paras air dianggarkan mencecah 0.3 meter sehingga memasuki beberapa rumah penduduk. Bagaimanapun, tiada pemindahan dilakukan.

Sementara itu, ketika anggota bomba tiba di kawasan tadika UiTM Puncak Alam padapukul 5.26 petang, air banjir dilaporkan sudah surut dan tiada operasi menyelamat diperlukan.

Pemeriksaan di Taman Sri Alam pula mendapati kawasan perumahan berkenaan turut dilanda banjir kilat susulan hujan lebat serta limpahan air dari kolam takungan berhampiran, dengan paras air dianggarkan sekitar 0.3 meter.

Tiada pemindahan penduduk diperlukan di kawasan berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment