BTS Media

11 gajah kerdil Borneo berjaya diselamatkan dari kolam terbiar

SEBANYAK 11 ekor gajah yang terperangkap di sebuah kolam air terbiar di ladang FGV Cepat Ringgit B berhampiran Hutan Simpan Deramakot minggu lalu berjaya diselamatkan.

Jabatan Hidupan Liar Sabah menerusi hantaran di laman Facebook rasmi 5R Hidupan Liar memaklumkan bahawa kumpulan gajah kerdil Borneo itu, termasuk seekor anak gajah, terperangkap kerana tebing kolam berkenaan terlalu curam dan licin.

Menurut jabatan itu, pasukan penyelamat terpaksa membina laluan cerun yang lebih landai bagi membolehkan kumpulan gajah tersebut keluar dari kolam berkenaan.

Jabatan itu berkata hasil usaha dan kerjasama semua pihak, kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut mencadangkan supaya kolam terbiar itu ditimbus atau dipasang penghadang keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Operasi menyelamat itu juga melibatkan pekerja ladang yang menyalurkan maklumat mengenai kejadian tersebut.

Jabatan Hidupan Liar Sabah berkata kejadian itu membuktikan pentingnya kerjasama antara agensi dan komuniti dalam memastikan keselamatan hidupan liar, khususnya spesies ikonik Sabah seperti gajah kerdil Borneo.

-BTSMedia.my

Leave a Comment