EMPAT ekor gajah disyaki diracun di Kampung Sri Timur, Kahang, Kluang.
“Empat ekor gajah itu dipercayai mati akibat keracunan sama ada malam tadi atau pagi tadi.
“Sekiranya ada penduduk kampung yang menghadapi masalah dengan gajah, mereka hendaklah melaporkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), ketua kampung, atau polis,” kata ADUN Paloh Lee Ting Han ketika dihubungi pada hari Sabtu (1 Jun).
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia Johor, berkata pasukan veterinar dari Perhilitan akan menjalankan pemeriksaan bedah siasat ke atas gajah itu untuk mengetahui punca kematian, lapor The Star.
“Kami menjangkakan bedah siasat akan selesai esok (Ahad), tetapi laporan kimia akan mengambil masa dua hingga tiga minggu.
“Sekiranya gajah itu diracun, polis akan terlibat,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat laporan baru-baru ini mengenai sekumpulan gajah di kawasan tersebut.
Ditanya sama ada tanah itu milik mana-mana penduduk kampung, Lee berkata bangkai gajah itu ditemukan di atas tanah yang tidak diberi hak milik.
Menurut beliau, terdapat beberapa tanaman yang diusahakan oleh penduduk kampung, tetapi apa yang berlaku tidak mewajarkan tindakan zalim itu. Ia amat menyedihkan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin berkata pihaknya memantau kawasan sekitar ladang kampung itu bagi memastikan bangkai gajah tidak diganggu.
“Perhilitan Johor masih menyiasat. Pada masa ini, kami tidak dapat mengesahkan sama ada gajah itu mati akibat keracunan,” katanya sambil menggesa orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri.
Beliau menambah bahawa gajah boleh menjadi agresif dan berbahaya jika mereka memakan sesuatu yang memudaratkan, justeru menimbulkan ancaman kepada penduduk berhampiran.
Terdahulu, video sepanjang satu minit tiga puluh saat mengenai gajah mati itu telah tersebar di WhatsApp.
-BTS Media