BTS Media

Sekumpulan gajah pijak kereta bersama keluarga di Lebuhraya Timur-Barat

TIGA sekeluarga berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang mereka naiki dipijak oleh sekumpulan gajah di KM55 Lebuhraya Timur-Barat.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku pada hari Ahad (26 Nov) selepas kereta yang dipandu lelaki berusia 48 tahun itu merempuh anak gajah di satu selekoh kira-kira pukul 7.35 malam.

“Keluarga dari Pulau Pinang itu dalam perjalanan ke Jertih, Terengganu.

“Apabila tiba di lokasi sebelum hentian rehat Titiwangsa, kereta berkenaan merempuh anak gajah yang sedang berjalan di atas jalan bersama kumpulan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sejurus selepas kejadian, lima ekor gajah kemudian memijak kereta berkenaan,” katanya sambil menambah keadaan ketika itu hujan renyai-renyai dan berkabus.

“Mereka meninggalkan kawasan itu selepas anak gajah itu bangun semula,” tambahnya.

Supt Zulkifli berkata, kedua-dua penumpang dalam kereta itu berusia 23 dan 47 tahun bersama pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami menasihatkan pengguna di lebuh raya supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan itu kerana terdapat sekawanan gajah di sana,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment