BTS Media

Iran keluar amaran wajib pakai tudung di dalam kereta

GAMBAR ATAS: PersianDutchNetwork, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

 

POLIS Iran meneruskan amaran bahawa wanita diwajibkan memakai tudung walaupun bila berada di dalam kereta, ketika kekacauan terus berlaku berikutan kematian Mahsa Amini, lapor media pada Isnin.

Negara itu dicengkam berpuluh protes sejak kematian Amini, 22, pada 16 September lalu, setelah ditahan di Tehran kerana didakwa melanggar kod ketat berhubung pakaian untuk wanita di negara republik Islam itu.

Tehran secara amnya menyifatkan protes itu sebagai “rusuhan”.

Agensi berita Fars memetik seorang pegawai kanan polis yang berkata “peringkat baharu” program Nazer-1 – “pengawasan” dalam bahasa Parsi – sedang dilancarkan” di seluruh negara oleh pihak polis.”

Program Nazer, yang dilancarkan pada 2020, melibatkan tindakan “penanggalan hijab dalam kereta,” tambah Fars.

Apabila ia dilancarkan pada 2020, pemilik kereta akan dihantar mesej pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan mereka tentang pelanggaran kod pakaian, dengan amaran tindakan “undang-undang”akan diambil jika ia berulang.

Bagaimana pun, polis nampaknya telah menggugurkan ancaman tindakan undang-undang, menurut mesej yang disiarkan di media sosial.

“Pembuangan hijab telah diperhatikan di dalam kenderaan anda: Ia adalah perlu untuk menghormati norma masyarakat dan memastikan tindakan ini tidak berulang,” kata  mesej yang dilaporkan dihantar oleh polis dan disiarkan di media sosial.

Polis moral Iran, Gasht-e Ershad, diberikan kuasa di bawah undang-undang untuk memasuki kawasan awam bagi memastikan pematuhan kod pakaian.

Susulan protes itu, ramai wanita di daerah mewah di ibu negara Tehran, serta di pinggir bandar selatan yang lebih berpendirian sederhana dan tradisional dilaporkan enggan memakai tudung, tanpa dihalang oleh pihak berkuasa.

Sejak September, van putih dan hijau polis moral tidak lagi banyak kelihatan di jalan raya Tehran.

Agensi berita AFP melaporkan bahawa pada awal Disember, Pendakwa Raya Iran Mohammad Jafar Montazeri dipetik sebagai berkata bahawa pasukan polis moral telah dimansuhkan.

Tetapi, beberapa kumpulan aktivis masih tidak yakin dengan kenyataan beliau, yang dianggap sekadar reaksi spontan apabila diajukan soalan berhubung isu tersebut semasa satu persidangan.

-BTS Media

Leave a Comment