BTS Media

Amaran bahaya obor-obor di perairan Pulau Pinang

BERENANG di perairan pesisir pantai Pulau Pinang boleh mendatangkan mudarat jika terkena sengatan spesies obor-obor beracun yang dikesan baru-baru ini.

Pada 12 Jan lepas, para saintis marin terkejut apabila berjaya menangkap 35 obor-obor tersebut yang sangat berbisa di kawasan sepanjang 650m hanya kira-kira 200m dari pantai Batu Ferringhi.

Obor-obor tersebut adalah daripada spesies Chiropsoides buitendijki.

Sengatan daripada obor-obor ini akan menyebabkan sakit seperti seperti terbakar selama  berjam-jam di seluruh badan, walaupun ia dikatakan tidak berbahaya seperti Australian Box Jellyfish, yang boleh membunuh manusia dalam masa sesingkat tiga minit, lapor The Star.

Kebanyakan orang yang disengat obor-obor buitendijki perlu dirawat, terutamanya jika mereka mengalami komorbiditi seperti diabetes atau hipertensi (darah tinggi).

Pertama kali dilaporkan di perairan Pulau Pinang pada 2017 oleh saintis marin, bilangan obor-obor ini yang pernah ditemukan hanya sedikit.

Tangkapan pada 12 Januari lepas adalah kali pertama sekumpulan 35 ekor berjaya ditangkap menggunakan pukat, tiga lagi ditangkap di perairan Tanjung Bungah.

Pada 7 Feb, Jabatan Perikanan Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran awam kepada orang ramai di pantai Pulau Pinang tentang kehadiran obor-obor ini.

-BTS MEDIA

Leave a Comment