SUSULAN kemunculan obor-obor Portuguese Man o’War (Physalia physalis) di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus baru-baru ini, haiwan marin berbisa itu kini ditemui pula di Pantai Pulau Kekabu di Marang, Terengganu pada hari Rabu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (MCDF) Marang Leftenan Mujahid Abd Wahad berkata, obor-obor itu ditemui oleh pegawainya ketika melakukan rondaan di sekitar pantai itu pada kira-kira pukul 10.30 pagi.
Pemeriksaan di sekitar kawasan mendapati sejumlah tujuh obor-obor jenis Portuguese Man o’War terdampar di pantai.
“Pegawai MCDF telah mengumpul obor-obor berbahaya ini dan menanamnya di dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung,” katanya kepada Sinar hari ini.
Mujahid berkata MCDF akan meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan pantai, terutama di lokasi popular.
Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada pihaknya jika terjumpa obor-obor beracun ini supaya tindakan boleh diambil.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh obor-obor tersebut kerana ia masih berbisa dan berbahaya walaupun sudah mati.
“Spesies obor-obor ini boleh melumpuhkan mangsa dengan sengatannya dan menyebabkan kulit melecur sehingga membawa maut jika tidak dirawat segera,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan obor-obor Portuguese Man o’War pertama kali ditemukan tahun ini di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.
-BTS Media