BTS Media

Masalah pantai di Pulau Pinang semakin membimbangkan

GAMBAR ATAS: Bernama

 

DENGAN menggunakan kaedah meletakkan 700 beg pasir di sepanjang 250m di Batu Ferringhi, pihak kontraktor telah mampu membentuk semula pantai landai yang dahulunya terkenal sebagai destinasi pelancongan itu.

Bagaimana pun, bahagian pantai itu hanya terlindung selama kurang daripada tiga bulan sebelum dimusnahkan semula oleh ombak laut yang seterusnya menghakiskan lagi pasir, lapor The Star.

Memang sukar untuk melawan dan menandingi kuasa alam, namun ia perlu dilakukan.

Keadaan pantai Batu Feringghi itu kini menyedihkan setelah beg-beg besar mengandungi pasir yang diletak sedalam 2 meter pada Januari dan September lalu koyak dan terdedah.

Setiap beg setinggi seorang dewasa itu dibuat daripada fabrik komposit tahan lasak dan diisi dengan lapan meter padu pasir.

Ombak kuat monsun timur laut dan fenomena cuaca La Nina kini telah menjadikan sia-sia segala usaha itu, memandang bagaimana kawasan pantai terus terhakis.

Di sepanjang 30 meter berhampiran laluan awam ke pantai Batu Ferringhi yang dikenali sebagai Pasir Emas, banyak beg pasir telah hilang.

Kesemuanya koyak berikutan ombak kuat hinggakan pasir di dalamnya melimpah keluar sehari demi sehari, dan apa yang masih bertahan digunakan oleh pengunjung sebagai bangku rendah untuk duduk.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pulau Pinang Zairil Khir Johari memberitahu The Star bahawa beg pasir gergasi itu adalah sekadar usaha tebatan jangka pendek oleh Jabatan Saliran dan Pengairan negeri untuk membendung hakisan.

Berharga kira-kira RM1.02 juta, kos pembinaan tebatan sementara itu ditanggung oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kami akan membina semula kaedah tebatan apabila keadaan air pasang reda. Kerajaan negeri komited untuk memastikan langkah jangka pendek ini berterusan untuk manfaat semua pengunjung ke pantai.

GAMBAR: BTS Media.my

“Kami memohon dana persekutuan untuk membina aliran sungai serta pemecah ombak luar pesisir bagi menghalang ombak kuat, tetapi masih mampu mengekalkan arus untuk mengelakkan pemendapan.

Beliau berkata walaupun kos projek dianggarkan sebanyak RM20 juta hingga RM30 juta, namun ia perlu bagi menangani pemanasan global, peningkatan paras laut dan fenomena cuaca seperti La Nina.

“Malah di Bali, Indonesia, juga mereka perlu membina struktur sedemikian untuk memelihara pantai,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang NV Subbarow menyeru mereka yang telah menikmati pantai Batu Ferringhi supaya memikirkan tentang kesan pemanasan global yang melanda aset pantai negeri itu.

“Kami menggesa kerajaan negeri supaya menggunakan kaedah kekal daripada membelanjakan dana awam untuk langkah yang tidak bertahan lama,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment