Oleh Yusoff A. Shariff
Seorang wanita dilihat memanjat penghalang konkrit Jambatan Pulau Pinang dan berdiri di tepi tembok dalam keadaan berbahaya.
Terkejut, dan menyangka dia berniat untuk terjun ke laut, seorang penumpang dalam kereta yang sedang melintasi lokasi itu terus membuat rakaman video.
Video tersebut kemudian menjadi tular dalam media sosial.
Perakam video berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Chow itu berkata dia amat terkejut memandangkan sejak kebelakangan ini pernah dilaporkan berita tentang individu jatuh ke laut dari jambatan tersebut.
Bagaimana pun, setelah melihat seorang lelaki kulit putih memakai topi keledar memasuki frame kamera, baru dia sedar rupanya mereka hanya sepasang pelancong asing yang ingin bergambar di situ.
Chow berkata pelancong asing perlu dimaklumkan bahawa berhenti untuk mengambil gambar di atas Jambatan Pulau Pinang adalah satu kesalahan kerana boleh mengganggu pengguna lain, lapor The Star.
Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Pulau Pinang Supt Zafri Zolkapli yang turut memberi reaksi tentang kejadian itu berkata pengguna jalan raya tidak boleh berhenti di jambatan untuk mengambil gambar kerana ia bukan sahaja berbahaya kepada mereka, tetapi juga kepada pemandu lain.
Beliau berkata mereka boleh dihukum mengikut undang-undang.
-BTS Media