LANGKAWI: Pelancong yang bercuti di pulau ini, kini boleh berkelah sepanjang malam di Pantai Chenang dekat sini, susulan pemasangan lampu limpah di situ.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, berkata projek pemasangan lampu limpah itu dimulakan sejak lima bulan lalu.
“Kita memasang 10 lampu limpah di Pantai Chenang dengan peruntukan RM250,000 sebagai usaha menghidupkan kawasan itu waktu malam.
“Kini pelancong atau penduduk tempatan boleh berkelah atau melakukan aktiviti riadah di kawasan itu sepanjang malam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Gotong-Royong di Taman Indah di sini, hari ini.
Program gotong-royong itu disertai 300 kakitangan MPLBP, agensi pelancongan, hotel dan resort serta ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Langkawi.
Mengulas mengenai gotong-royong itu, Tunku Iskandar Shah berkata, kutipan sampah dan sisa makanan di sekitar pulau pelancongan ini mencecah 150 tan sebulan.
“Purata sampah yang dikutip adalah lima tan sehari dan sentiasa meningkat susulan kemasukan pelancong pada musim cuti, selain penambahan projek pembangunan.
“Jadi, untuk penyelesaian jangka pendek kita menganjurkan program gotong-royong selama lima hari berakhir Khamis ini membabitkan lima kawasan terpilih,” katanya.