TIGA sungai di daerah Padang Terap dan Kota Setar telah melepasi paras amaran, manakala tujuh sungai di empat daerah berada pada tahap berjaga-jaga setakat tengah hari Ahad (9 Okt).
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata tiga sungai itu ialah Sungai Sari dan Sungai Padang Terap di Padang Terap dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR.
“Tujuh sungai yang melebihi paras berjaga-jaga ialah Sungai Melaka dan Sungai Kuah di Langkawi; Sungai Janing dan Sungai Perik di Padang Terap; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Kedah di Kota Setar, serta Empangan Beris di Sik,” lapor Bernama.
Sementara itu, Muhammad Suhaimi berkata banjir kilat telah melanda beberapa kampung di daerah Kulim, Kuala Muda dan Baling, namun tiada pusat pemindahan dibuka.
“Proses pemindahan mangsa banjir ke tempat yang lebih tinggi dan selamat sedang dijalankan. Selain itu, anggota APM akan memantau semua sungai di negeri ini bagi memastikan persiapan awal dapat dilakukan sekiranya paras air naik dengan cepat,” katanya.
-BTS Media