BTS Media

Sungai di beberapa lokasi catat paras bahaya dan waspada pagi Jumaat

Oleh Fetty Rara

SETAKAT pukul 8.00 pagi Jumaat, sungai di empat negeri, iaitu Pahang, Perlis, Sarawak dan Selangor berada pada paras bahaya.

Dalam satu kenyataan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata lokasi berkenaan adalah Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Sungai Rompin di Rompin, Pahang dan Bukit Tok Poh, Sungai Perlis, di Kangar, Perlis.

Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) merekodkan tiga lokasi berada di paras bahaya, iaitu di Long Jegan, Baram, Miri di Sarawak dan Sungai Langat di Stesen RS Batu 8 Kuala Langat serta Pekan Meru Sungai Klang di Selangor.

Di Johor, ia membabitkan Sungai Muar Tangkak dan Sungai Batu Paha, manakala di Sarawak, Batang Rajang Mukah, Batang Krian Betong dan Batang Suai Miri yang masing-masing mencatatkan paras waspada.

Di Sabah, beberapa bahagian Sungai Padas, Tenom berada di paras waspada, sementara di Selangor, Sungai Kapar Besar Petaling, Sungai Selangor di Kuala Selangor dan Sungai Langat di Kuala Langat mencatatkan keadaan sama.

Menurut NADMA, buat masa ini sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara, tiga daripadanya masing-masing di Selangor dan Johor serta satu di Kelantan.

Jumlah mangsa yang terlibat ialah 658 orang terdiri daripada 158 keluarga.

-BTS Media

Leave a Comment