GAMBAR & VIDEO: Danau Girang Field Centre, Sabah.
Oleh Fetty Rara
SEKUMPULAN 100 ekor gajah pygmy Borneo berkunjung ke Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), di Kinabatangan, Sabah baru-baru ini hingga musnah tangki air dan roboh tembok, selain menyebabkan beberapa kerosakan kecil.
Tetapi, para pegawai dan petugas pusat tersebut tidak langsung marah, sebaliknya berasa senang melihat kumpulan gajah itu.
Selalunya, jika di kawasan lain mungkin kehadiran gajah itu akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan petani dan penduduk kampung kerana haiwan itu biasanya menyebabkan kerosakan kepada tanaman dan harta benda.
Lawatan kumpulan gajah itu pada hujung minggu lalu dilihat sebagai petanda baik bahawa spesies gajah tersebut hidup dan membiak dengan sihat di kawasan pemuliharaan berkenaan.
Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens berkata kakitangannya berasa gembira menyaksikan gelagat gajah-gajah itu, walaupun mereka menyebabkan kerosakan kepada blok pejabat di situ.
Kerosakan yang dilakukan oleh gajah-gajah itu kecil nilainya jika dibandingkan dengan harga yang perlu dibayar oleh manusia untuk tinggal di kawasan milik mereka
Dalam catatan Facebook, beliau berkata kerosakan yang dilakukan oleh gajah-gajah itu kecil nilainya jika dibandingkan dengan harga yang perlu dibayar oleh manusia untuk tinggal di kawasan milik spesies haiwan itu.
Goossens berkata adalah perkara biasa bagi gajah melintasi perkarangan pusat itu, yang terletak di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Pusat tersebut dikelilingi oleh hutan habitat gajah, di mana mereka hidup dengan memakan rumput dan lain-lain tumbuhan hutan.
Spesies gajah pygmy Borneo sangat gemar bermain apa sahaja yang terdapat di pusat situ, termasuk tangki air, wayar, paip air dan lain-lain peralatan. Dinding bangunan digunakan untuk menggesel badan hingga ada bahagian yang roboh.
Menurut Goossens, kumpulan gajah lebih kurang 100 ekor yang melewati GFDC kali ini agak besar berbanding sebelumnya, yang datang ‘melawat’ sebanyak dua atau tiga kali setahun.
Mereka selalunya menyusuri tebing Sungai Kinabatangan dalam kumpulan kecil dan kadangkala kumpulan besar pada Julai setiap tahun.
DGFC merupakan pusat penyelidikan dan latihan yang diuruskan bersama oleh jabatan Hidupan Liar Sabah dan Cardiff University, Wales, United Kingdom.
-BTS Media