BTS Media

PRU15: Pengundi teruja tiba awal di pusat mengundi di seluruh negara

ATAS: Warga emas beratur untuk mengundi di saluran mereka di SK Taman Tun Dr Ismail/ Foto: BTS Media.

 

Oleh Zainal AS Rashid

KETERUJAAN rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan baharu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketara hari ini apabila pengundi tiba awal di pusat mengundi, walaupun pintu belum  dibuka, dan hujan di beberapa tempat.

Di Pahang, pengundi di kawasan parlimen Indera Mahkota, terutama mereka yang akan melaksanakan hak mereka di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam mengambil kesempatan cuaca baik untuk hadir seawal pukul 7.00 pagi.

Walaupun cuaca baik di kebanyakan kawasan, namun tempat dilaporkan hujan, antaranya di Sembrong (Johor); Bentong (Pahang); Putrajaya, Masjid Tanah (Melaka) dan Sibuti, Sarawak.

Bagaimanapun, hujan tidak mematahkan semangat pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Mereka keluar dengan membawa payung dan baju hujan.

Di Sarawak, pengundi juga tiba awal untuk menyertai barisan panjang di beberapa pusat mengundi.

Terdahulu, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelihatan sejak awal pagi membuat persiapan terakhir bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar hari ini.

Seperti yang diumumkan oleh SPR, pusat pengundian di semenanjung dibuka mulai pukul 8.00 pagi, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, mulai pukul 7.30 pagi, dan akan ditutup secara berperingkat antara tengah hari hingga pukul 6.00 petang.

-BTS Media

Leave a Comment