BTS Media

Empat beradik ditinggalkan depan Kompleks Pentadbiran Kampung Gajah

PASIR SALAK: Empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, dalam kenyataan berkata maklumat kejadian itu diterima melalui Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah pukul 5.39 petang.

Sekitar pukul 10.50 pagi, dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan serta kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun ditinggalkan di situ.

Berdasarkan keterangan, adik-beradik malang itu dipercayai ditinggalkan oleh seorang wanita tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota.

“Hasil pertanyaan ke atas seorang kanak-kanak berusia 11 tahun itu, mereka telah dihalau dari sebuah rumah dekat Bota sebelum dihantar ke kompleks berkenaan menaiki kereta bersama wanita tidak dikenali.

“Turut ditinggalkan bersama mereka satu bungkusan plastik yang hanya berisi susu dan lampin pakai buang,” katanya.

Hafezul Helmi berkata keempat-empat adik beradik itu telah dihantar ke Rumah Perlindungan Gopeng bagi tujuan keselamatan dan siasatan.

Polis masih menyiasat bagi mengesan ibu bapa dan waris kanak-kanak tersebut.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hanif Dzulkifli di talian 012-6477452,” katanya.

 

Leave a Comment