GAMBAR dilesenkan melalui Wikimedia Commons, Nana B Agyei, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>
Oleh Zainal AS Rashid
SEORANG kanak-kanak berusia 16 bulan ditemui mati selepas dipercayai ditinggalkan dalam kereta di sebuah universiti awam di Kuala Nerus, Terengganu semalam.
Siasatan awal polis yang menerima laporan kejadian pada pukul 4.30 petang semalam mendapati bapa kanak-kanak itu didakwa terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan di kampus universiti yang sama sebelum berangkat bekerja di universiti berkenaan, lapor NST.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata polis turut dimaklumkan oleh kakitangan pusat kesihatan universiti tersebut bahawa kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia.
“Sebaik menerima laporan, polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
“Pemeriksaan bedah siasat dijalankan di hospital malam tadi dan punca kematian masih belum dapat dipastikan kerana kita masih menunggu analisis makmal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan berhubung kejadian itu dimulakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
-BTS Media