Oleh Yusoff A. Shariff
EMPAT anggota polis ditahan di Kuala Lumpur atas dakwaan memeras ugut.
Ketua Polis Kuala Lumpur Comm Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata satu laporan telah dibuat pada hari Khamis (4 Jan) dengan pengadu menyatakan dia telah diperas oleh empat anggota polis berhampiran sebuah apartmen di Kepong, lapor The Star.
“Kami menahan empat anggota polis berusia antara 29 dan 41 tahun yang kami percaya terlibat dalam kes itu,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Selasa (9 Jan).
“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kuala Lumpur juga telah membuka siasatan berhubung keengganan menerima laporan polis daripada orang awam.
“Kami memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Kes ini masih disiasat dan kami tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk pegawai kami sendiri yang melakukan kesalahan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa seorang individu telah diperas RM10,000 oleh beberapa anggota polis pada 23 Dis.
Portal itu menambah, mangsa cuba membuat laporan sebanyak dua kali tetapi ia tidak diterima.
-BTS Media