KOTA BHARU: Seorang anggota polis dan rakannya ditahan ketika membawa 15 kotak dan 12 guni pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM25,000 menggunakan kenderaan pacuan empat roda Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Machang, Selasa lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penahanan kedua-dua suspek berumur 32 dan 35 tahun itu serta rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) Pengkalan Chepa kira-kira 7.45 malam selepas melihat kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota PGA8 juga menahan Toyota Hilux PDRM di lampu isyarat Wakaf Bata, Machang, hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak coklat dan 12 bungkusan guni di bahagian kenderaan tersebut yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek adalah anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu manakala seorang lagi suspek bekerja sebagai mekanik dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes narkotik.
“Mereka ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Polis juga akan mengenal pasti sama ada anggota tersebut berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya,” katanya.