BTS Media

Buli OKU dengan mercun, dua ditahan

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Kerana membuli seorang lelaki kurang upaya (OKU) menggunakan mercun di Bandar Baru Semariang, Kuching semalam, dua ditahan polis.

Suspek yang merupakan pekerja syarikat penghantaran barang ditahan setelah video perbuatan itu ditularkan.

Ketua Polis Kuching, Ahsmon Bajah, berkata dalam video sepanjang 56 saat itu, suspek yang berusia 24 tahun dirakam mencucuh mercun dan menggunakannya bagi mengacah lelaki OKU berusia 40 tahun di tangga sebuah bangunan.

Tindakan suspek menakutkan mangsa dirakam oleh rakannya.

Susulan laporan yang diterima, polis dari Balai Polis Santubong dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah bertindak menahan kedua-dua suspek, termasuk yang merakam video itu petang semalam.

Menurut Ashmon, suspek direman empat hari mulai hari ini dan semua barang kes, termasuk pakaian seragam syarikat penghantaran yang dipakai suspek utama ketika kejadian dan bekas mercun yang digunakannya dirampas.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan objek dan Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai menggunakan bahan letupan, iaitu mercun.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda, manakala penjara sehingga enam bulan bagi Seksyen 286 Kanun Keseksaan.

-BTS Media

Leave a Comment