BTS Media

Pendakwaan mohon lucut hak kenderaan SUV mewah, barang kemas isteri bekas Panglima Tentera Darat

PENDAKWAAN memfailkan permohonan untuk melucut hak sebuah kenderaan SUV mewah dan barang kemas yang disita daripada Salwani Anuar @ Kamaruddin, isteri bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu dengan menamakan Salwani, 27, sebagai responden.

Menurut pendakwaan, antara aset yang dimohon untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah sebuah Range Rover Sport SVR, seutas gelang emas 916 seberat 15.10 gram serta tiga bentuk cincin emas masing-masing seberat 1.33 gram, 1.41 gram dan 1.35 gram.

Turut tersenarai dalam permohonan itu ialah sepasang subang emas seberat 6.64 gram bernilai RM10,930 yang disita daripada responden.

Berdasarkan notis permohonan, aset berkenaan disita mengikut Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan kini berada dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat, memberitahu pemberita bahawa semasa prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zaridah Y Abdul Jaapar pada hari Isnin, mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad bahawa pihak pendakwaan turut memfailkan permohonan untuk melucut hak 23 utas jam tangan Rolex dan 15 barangan kemas yang disita daripada adik ipar Muhammad Hafizuddeain, Nor Shahira Atirah Anuar @ Kamaruddin.

Beliau berkata, pihak pendakwaan turut memohon perintah mahkamah bagi menyiarkan notis warta untuk menghendaki mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap aset berkenaan tampil dan hadir ke mahkamah mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Peguam, Aizul Rohan Anuar, berkata pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan kes bagi kehadiran pihak ketiga.

Pada 4 Mei lalu, pendakwaan turut memfailkan notis terhadap Nor Shahira Atirah bagi memohon pelucutan hak kepada kerajaan terhadap 23 jam tangan mewah dan 15 barangan kemas yang disita daripada responden.

Permohonan itu dibuat selepas pihak pendakwaan, di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, berpuas hati bahawa aset alih yang disita oleh SPRM wajar dilucut hak kerana didakwa diperoleh daripada atau mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment