BTS Media

Dr Samsuri dilantik Ketua Pembangkang baharu, kata Perikatan

MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional pada hari Sabtu telah melantik pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Ketua Pembangkang baharu di Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Terengganu itu menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sebelum ini dilucutkan daripada jawatan berkenaan selepas dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang berlangsung pada hari Sabtu turut membincangkan penstrukturan semula kepimpinan negeri-negeri sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Takiyuddin berkata, mesyuarat itu bersetuju melantik Ahmad Samsuri, yang juga Ahli Parlimen Kemaman, sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Menurutnya lagi, mesyuarat berkenaan turut bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau pakatan pilihan raya dengan parti-parti tertentu yang selari dengan perjuangan serta kepentingan Perikatan Nasional.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengumumkan ketua-ketua Perikatan Nasional negeri kecuali Negeri Sembilan.

Antara yang dilantik ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi Perlis, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi Kedah, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau bagi Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi Perak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi Selangor serta Datuk Mohd Radzi Md Jidin bagi Wilayah Persekutuan.

Isu pelantikan Ketua Pembangkang menjadi perhatian selepas Hamzah, yang ketika itu Timbalan Presiden Bersatu, dipecat daripada parti berkenaan.

Dewan Rakyat dijadual bersidang semula bulan depan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment