KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan sekutunya, Perikatan Nasional (PN) menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Namun, keputusan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai gambaran sebenar sokongan rakyat terhadap parti-parti politik di peringkat nasional.
BN memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) mempertahankan empat kerusi, kesemuanya di kawasan bandar.
Hakikatnya, PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) mempunyai fungsi serta mandat yang berbeza. PRN menentukan kerajaan yang mentadbir negeri, manakala PRU bagi kerusi Parlimen menentukan komposisi Dewan Rakyat dan parti atau gabungan yang akan membentuk kerajaan Persekutuan.
Corak pengundian di peringkat negeri juga tidak semestinya mencerminkan pilihan rakyat dalam pilihan raya Parlimen. Faktor calon, isu tempatan dan prestasi kerajaan negeri boleh mempengaruhi keputusan pengundi secara berbeza daripada pertimbangan mereka terhadap kepimpinan dan dasar di peringkat nasional.
Sebab itu, PRU16 merupakan penentuan sebenar yang dinantikan rakyat. Mereka mahu peluang untuk memilih sendiri Ahli Parlimen yang akan mewakili suara dan kepentingan mereka di Dewan Rakyat, selain menentukan siapa yang layak diberikan mandat untuk mentadbir negara.
Keputusan PRN Melaka tidak boleh dijadikan sandaran untuk mendakwa sesebuah parti mempunyai mandat nasional. Mandat itu hanya dapat ditentukan melalui pilihan rakyat dalam PRU16.
Daripada tiga kerusi yang dimenangi PN, dua diperoleh menerusi calon PAS di Bukit Katil dan Paya Rumput, manakala satu lagi di Bemban dimenangi Parti Wawasan Negara (Wawasan) menerusi calonnya, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Kemenangan PN di Bukit Katil menyaksikan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari, tewas kepada calon PAS, Ridzuan Sarif. PH turut kehilangan Paya Rumput apabila calon PN menewaskan Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, DAP berjaya mempertahankan empat kerusi tradisionalnya, iaitu Kesidang, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala MCA sekali lagi gagal merampas semula kerusi-kerusi berkenaan.
Bagi BN, keputusannya masih tidak berubah. Ia menyaksikan gabungan berkenaan mengekalkan 21 kerusi seperti yang diperoleh pada PRN 2021. Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, mempertahankan Tanjung Bidara dengan majoriti 8,650 undi.
BN mengekalkan beberapa kawasan lain, termasuk Sungai Udang dan Serkam, manakala Machap Jaya menyaksikan persaingan lebih sengit dengan kemenangan BN melalui majoriti 1,925 undi.
Sementara itu, Bersatu, yang menggunakan logo sendiri, gagal memenangi mana-mana daripada tujuh kerusi yang ditandinginya. Di Sungai Udang, calonnya hanya memperoleh 1,522 undi berbanding 13,558 undi yang diraih calon BN. Di Pantai Kundor pula, calon Bersatu, Dr Asmah Samat, tewas kepada Tuminah Kadi daripada BN dengan perbezaan 2,177 undi.
Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon bebas turut gagal memenangi sebarang kerusi.
Apa pun keputusan di Melaka, ia kekal sebagai mandat untuk mentadbir negeri, bukannya referendum terhadap kerajaan Persekutuan.
Penentuan sebenar masih menanti dalam PRU16, apabila rakyat berpeluang membuat pilihan sendiri terhadap wakil Parlimen dan kerajaan yang mereka mahu.
-BTSMedia.my



