UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti itu tidak lagi menjadi pilihan utama orang Melayu.
Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal, berkata penolakan orang Melayu jelas berlaku sama ada dalam kalangan yang tinggal di bandar atau luar bandar, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berpandangan, faktor semakin ramai orang Melayu menolak UMNO antara lain disebabkan kegagalan parti itu bersaing dengan parti Melayu lain, selain gagal mendekati dan meyakinkan orang Melayu di bandar.
“Suka atau tidak, kita bukan parti Melayu dengan kemenangan kerusi terbanyak. Yang di luar bandar sudah mula menolak kita dan yang di bandar, sudah lama meninggalkan kita.
“UMNO mesti segera sedar. Ramai orang Melayu di luar sana yang sudah membayangkan masa depan mereka, tanpa UMNO.
“Ramai orang Melayu yang semakin percaya, bahawa mereka tidak perlukan UMNO untuk mewakili mereka. Perkara ini jika tidak diberikan perhatian serius dan jujur, akan memberi kesan sangat buruk kepada UMNO,” katanya.
Beliau yang mewakili Pahang berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Fadzli menegaskan UMNO perlu melakukan bedah siasat secara jujur dan ikhlas dengan mengetengahkan kelemahan, kesilapan dan kesalahan parti itu, dan bukan bedah siasat yang dibuat secara berlapik.
Tegasnya, UMNO hanya mampu kembali bangkit jika parti itu kembali pada kekuatannya, iaitu memiliki neraca pertimbangan dan kompas moral yang betul.
“Jika kita benar-benar sayangkan parti, kita mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur,” katanya.
Pada masa sama, katanya, UMNO perlu merombak cara kerja lama dan mencari strategi baharu, termasuk memiliki ikon yang bersih, diyakini dan mempunyai idea serta pelan untuk bangsa dan negara.