KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengarahkan semua pegawai dan anggota polis supaya bertindak tegas, termasuk melepaskan tembakan tanpa teragak-agak sekiranya berdepan keadaan yang mengancam nyawa.
Arahan tegas itu dikeluarkan susulan kejadian seorang anggota polis kehilangan tangan kanan selepas diserang lelaki bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, Gombak, pada hari Rabu (11 November).
Dalam rakaman audio yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Polis Kuala Lumpur pada hari Khamis (12 November), Fadil menegaskan bahawa beliau tidak mahu kejadian seumpama itu berulang terhadap anggota yang bertugas di barisan hadapan.
Beliau mengingatkan anggota supaya sentiasa bersedia menilai keadaan, mengeluarkan senjata api, mengenal pasti sasaran dan mengambil tindakan segera apabila keselamatan mereka terancam.
Menurutnya, anggota tidak sepatutnya teragak-agak melepaskan tembakan sekiranya berdepan halangan, keraguan atau merasakan keselamatan diri terancam.
Fadil turut menegaskan bahawa semua pegawai dan anggota di bawah kontinjen Kuala Lumpur perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman, sambil memastikan keselamatan awam dan ketenteraman terus terpelihara.
Dalam kejadian hari Rabu, seorang anggota berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun daripada Unit Kereta Peronda (MPV) Gombak mengalami kecederaan parah apabila tangan kanannya ditetak hingga putus oleh seorang lelaki warga asing yang mengamuk menggunakan parang.
Suspek kemudian ditembak mati oleh polis.
-BTSMedia.my



