ANJING pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Lexi, menghembuskan nafas terakhir sehari selepas menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) terakhirnya, sekali gus menamatkan khidmat hampir sedekad sebagai anggota pasukan penyelamat.
Anjing baka Labrador Retriever itu ditemui tidak bernyawa di dalam kandangnya kira-kira pukul 6.15 pagi Jumaat.
Ketua Unit K9 JBPM Sabah, Calvin Joe Jeafery, berkata Lexi masih menjalankan tugas seperti biasa pada hari Khamis apabila menyertai operasi mencari individu yang hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, pada 5 November lalu.
Menurutnya, operasi berkenaan menjadi misi terakhir Lexi yang dibawa masuk dari United Kingdom pada tahun2017.
Beliau berkata, Lexi menyertai operasi itu bersama pengendalinya, Athur Anderson Walter, sebelum kembali ke balai bomba selepas operasi selesai.
Katanya, anjing pengesan itu kemudian menjalani rutin penjagaan seperti biasa, termasuk dimandikan dan diberi makan.
“Lexi menghabiskan makanan yang diberikan dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku selepas pulang daripada operasi.
“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan rutin kandang pada keesokan pagi, anggota bertugas mendapati Lexi tidak memberikan sebarang tindak balas apabila dipanggil. Pemeriksaan lanjut mengesahkan dia sudah mati,” katanya.
Calvin berkata, berdasarkan rekod perubatan, Lexi mempunyai sejarah penyakit jantung tahap dua selain mengalami ketumbuhan pada bahagian gusi.
Menurutnya, Lexi sebelum ini berada di bawah pemantauan veterinar dan menerima rawatan termasuk antibiotik, ubat gastrik serta ubat antiradang.
Bagaimanapun, beliau berkata punca sebenar kematian anjing pengesan itu masih belum dapat dipastikan sementara menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Lexi dilatih dalam disiplin SAR Wilderness, iaitu pengkhususan mengesan individu yang hilang di kawasan hutan dan muka bumi yang mencabar.
Sepanjang hampir 10 tahun berkhidmat, Lexi menjadi antara aset penting Unit K9 JBPM Sabah dalam operasi mencari dan menyelamat, sebelum menamatkan tugasnya melalui misi terakhir sehari sebelum kematiannya.
-BTSMedia.my



