BTS Media

Sekumpulan anjing terabai diselamatkan di Banglo Port Dickson

SATU klip video TikTok menyedihkan muncul baru-baru ini tentang nasib beberapa anjing yang ditinggalkan di dalam sebuah banglo di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Penduduk di kejiranan itu sebelum ini mengadu kepada pihak majlis mengenai bunyi bising anjing menyalak, yang membawa kepada notis diskeluarkan oleh pihak berkuasa kepada pemiliknya.

Bagaimana pun, notis tidak diendahkan oleh si pemilik, dan seterusnya memaksa  sekumpulan aktivis dari Furrykids Safehaven bertindak untuk menyelamatkan anjing-anjing tersebut.

Apabila tiba di lokasi, mereka terkejut dengan keadaan menyedihkan sejumlah 35 ekor anjing yang berada dalam keadaan amat terseksa dan menyedihkan.

Keadaan rumah pula amat kotor, dipenuhi najis dan kotoran di bahagian dalam dan luar bangunan, dan berkemungkinan tanpa diberikan makananan dan air.

Menurut akhbar The Star, pasukan penyelamat juga terpaksa mengebumikan anjing yang mati di premis itu.

Furrykids Safehaven yang kini menjaga lebih 2,000 ekor anjing merayu orang ramai supaya menyumbang bantuan untuk membeli bekalan makanan dan merawat anjing-anjing yang masih hidup.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri telah melancarkan siasatan terhadap kes tersebut, dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika terdapat bukti berlaku kekejaman atau pengabaian yang disengajakan.

Insiden tragis ini menjadi peringatan tentang kepentingan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan keperluan untuk penguatkuasaan undang-undang kebajikan haiwan lebih ketat.

-BTS Media

Leave a Comment