SEORANG lelaki yang disyaki membunuh seekor anjing di Ladang Malaya, Selama, dengan menggunakan panah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 23 Dis.
Pemangku Ketua Polis Perak, Timbalan Kom Zulkafli Sariaat berkata, suspek berusia 44 tahun itu dibebaskan dengan jaminan menunggu perbicaraan.
“Suspek dibebaskan pada hari yang sama (23 Dis) selepas didakwa di mahkamah, sementara menunggu tarikh perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam (Jumaat 27 Dis).
Zulkafli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan tidak bermoral seperti itu, kerana ia adalah kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang.
“Sekiranya terdapat sebarang kejadian melibatkan kekejaman terhadap haiwan, orang ramai digesa menghubungi pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata polis menahan seorang lelaki pada kira-kira pukul 4.30 petang 22 Dis dan merampas sebilah busur dan lima anak panah dipercayai digunakan untuk membunuh anjing bernama ‘Kutty’ itu.
Sebelum ini, persatuan Stray Animal Feeders of Malaysia (SAFM) mengecam sekeras-kerasnya kejadian tidak berperikemanusiaan itu, dan menggesa diambil tindakan ke atas pelaku.
-BTS Media