BTS Media

Cetus kekacauan di masjid, warga emas didakwa di mahkamah

GAMBAR: Bernama

 

SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain di Batu Ferringhi, Pulau Pinang, minggu lalu.

Sofiah Abdul Majid, 65, didakwa melakukan perbuatan itu di Masjid Jamek Ar-Rahman pada 10 malam 12 Mac lalu, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menyifatkan bacaan imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman seperti “menyalak” dan membayangkan mereka “dirasuk hantu Cina atau Hindu”.

Ketika pendengaran pengakuannya, dia yang tidak diwakili peguam, melalui penterjemah berkata: “Semuanya bohong. Saya tidak faham pembohongan. Saya tidak setuju dengan pertuduhan itu. Bukan itu yang saya katakan, ia adalah rekaan.”

Majistret Nadratun Naim Saidi memerintahkan Sofiah menjalani pemerhatian di Hospital Ulu Kinta selama sebulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 April ini.

Minggu lalu, beberapa video tular menunjukkan seorang wanita memasuki ruang solat lelaki di masjid dan memberitahu seorang jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/20/cetus-kekacauan-di-masjid-warga-emas-didakwa-di-mahkamah/

Leave a Comment