GAMBAR ATAS: Masjid Markham/Islamic Center of Markham.
MENTERI Perdagangan Kanada Mary Ng pada hari Sabtu mengutuk jenayah kebencian di sebuah masjid di negara itu, yang melibatkan percubaan untuk mengoyakkan Al-Quran.
Persatuan Islam Markham (ISM) dalam satu kenyataan berkata seorang individu telah memasuki sebuah masjid di Markham, 30 km di utara Toronto, pada Khamis dan kelihatan mengoyakkan Al-Quran, memaki hamun jemaah, dan kemudian cuba merempuh mereka dengan kenderaannya.
“Amat terganggu mendengar jenayah kebencian yang ganas dan tindakan perkauman terhadap Persatuan Islam Markham,” kata Ng di Twitter.
Beliau tidak memberikan butiran kejadian itu tetapi berkata: “Keganasan dan Islamofobia tidak mempunyai tempat dalam komuniti kita,” lapor Reuters.
Kejadian berlaku ketika jemaah berpusu-pusu ke masjid. Beribu-ribu orang menghadiri masjid di Markham, kata pertubuhan itu.
Majlis Kebangsaan Muslim Kanada berkata dalam satu catatan di Twitter bahawa kejadian itu amat mengganggu komuniti Islam di Kanada.
-BTS Media