OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang selepas dihanyutkan kepala air di Lata Jebus, Kampung Pertak, di Kuala Kubu Bharu, diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pasukan penyelamat kini menumpukan pencarian di sepanjang aliran Sungai Luit, bermula dari Lata Jebus hingga ke empangan berkenaan.
Menurutnya, setakat ini lima daripada lapan individu yang dilapor dihanyutkan arus deras berjaya ditemukan, manakala tiga lagi masih belum ditemui.
Terdahulu, empat mayat ditemukan dalam operasi yang dijalankan pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui meningkat kepada lima orang.
Tiga daripada mangsa ditemukan terperangkap di sepanjang tebing sungai berhampiran Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari Lata Jebus, pada pukul 9.20 pagi.
Mayat keempat pula ditemukan sejam kemudian, kira-kira pukul 10.20 pagi, berhampiran sebuah jambatan gantung, sekitar 50 meter dari Jambatan Senget atau satu kilometer dari lokasi kejadian.
Operasi membawa keluar keempat-empat mayat itu selesai pada pukul 11.15 pagi sebelum semuanya dibawa ke pos kawalan hadapan JBPM di Kampung Pertak.
Seorang lagi mangsa, lelaki tempatan berusia 36 tahun, ditemukan maut di Jambatan Pertak pada pukul 1.30 pagi tadi.
Difahamkan, kesemua lima mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian petang semalam, lapan individu dihanyutkan arus deras susulan kejadian kepala air di kawasan Lata Jebus.
-BTSMedia.my



