PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengarahkan semua penerbangan berlepas di seluruh negara dihentikan serta-merta pada hari Jumaat berikutan keadaan luar biasa yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan.
Arahan itu dikeluarkan selepas agensi berkenaan mengesan masalah serius pada sistem komunikasi kawalan trafik udara, termasuk gangguan yang sebelum itu menyebabkan pergerakan penerbangan di Chicago dihentikan.
Menurut FAA, pesawat yang sudah berada di udara dibenar meneruskan penerbangan dan mendarat, namun semua pesawat di darat tidak dibenarkan berlepas sehingga arahan pembekuan operasi ditarik balik.
Penerbangan antarabangsa pula akan dikendali berdasarkan penilaian kes demi kes, manakala semua penerbangan berlepas domestik dan antarabangsa tertakluk kepada arahan berkenaan.
Keputusan itu menjadikan kejadian tersebut sebagai kali kedua FAA melaksanakan penghentian menyeluruh penerbangan berlepas di seluruh AS sejak serangan 11 September 2001.
Kali pertama berlaku pada bulan Januari 2023 apabila FAA menggantung semua penerbangan domestik selama kurang dua jam susulan masalah sistem pemberitahuan keselamatan penerbangan.
Gangguan terbaharu itu turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan infrastruktur komunikasi penerbangan AS yang semakin usang.
Tahun lalu, Kongres meluluskan peruntukan AS$12.5 bilion bagi menaik taraf sistem komunikasi FAA. Bagaimanapun, agensi itu bersama White House kini memohon tambahan AS$30.1 bilion daripada Kongres bagi menangani pelbagai kelemahan lain dalam sistem penerbangan negara itu.
-BTSMedia.my



