Oleh Yusoff A. Shariff
RAKYAT Malaysia di Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan digesa untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan di negara-negara tersebut, kata Wisma Putra.
Ini, berikutan pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula operasi penerbangan di negara masing-masing.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Wisma Putra menjangkakan kelewatan penerbangan apabila operasi disambung semula secara beransur dan menyesuaikan diri dengan peraturan baharu.
“Pengembara Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa dimaklumkan tentang sebarang kemungkinan gangguan dan merancang perjalanan mereka sewajarnya.”
Negara-negara berkenaan telah membuka semula ruang udara mereka selepas menutupnya susulan serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas Israel.
Pada hari Sabtu (13 April), Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera di wilayah Israel sebagai tindak balas kepada serangan 1 April oleh Israel ke atas konsulatnya di Damsyik, Syria, yang mengorbankan 13 orang.
-BTS Media