BTS Media

Perak tangguh kebenaran semua penceramah agama di masjid, surau

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menangguhkan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak ketika ini sedang membuat penambahbaikan terhadap garis panduan permohonan penceramah dan pengajar sebagai usaha penyusunan semula konsep dakwah agar selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.

“Beberapa ketetapan telah diputuskan sehingga garis panduan tersebut muktamad dikuatkuasakan iaitu dengan menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah.

“Jawatankuasa kariah juga dikehendaki menangguhkan jemputan penceramah dari dalam negeri Perak yang tiada tauliah mengajar di dalam masjid, surau diri Jumaat dan surau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook pada Rabu.

Beliau berkata, ketetapan tersebut bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

“Semua pihak diminta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan ini,” katanya.

Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis; mufti mana-mana negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/275200/edisi/perak/perak-tangguh-kebenaran-semua-penceramah-agama-di-masjid-surau

Leave a Comment