Oleh Feste KR
Sebanyak 144 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan berlaku pada kanak-kanak di Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perak Mohd Akmal Kamaruddin berkata pada minggu pertama Mei, sebanyak 143 kes dikesan membabitkan kanak-kanak bawah enam tahun dan satu lagi membabitkan kanak-kanak berumur antara tujuh dan 12 tahun.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (6 Mei) Mohd Akmal berkata terdapat tujuh kawasan yang terkesan – enam di Hilir Perak dan satu di Bagan Datuk .
Menurut beliau lima lokasi membabitkan prasekolah, pusat jagaan harian dan tadika, manakala dua jangkitan berlaku di pusat jagaan kanak-kanak.
HFMD berpunca daripada pan-enterovirus, yang merebak melalui sentuhan dengan air liur, lelehan lepuh dan najis daripada individu yang dijangkiti.
Beliau berkata sebahagian besar kes HFMD di kedua-dua daerah itu berpunca daripada pan-enterovirus, yang merebak melalui sentuhan dengan air liur, lelehan lepuh dan najis daripada individu yang dijangkiti.
Jangkitan biasanya ringan dengan demam, diikuti dengan lepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
Mohd Akmal berkata kebanyakan pesakit HFMD akan pulih tanpa rawatan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari.
Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan anak-anak mereka bebas daripada HFMD sebelum dihantar ke sekolah atau pusat jagaan bagi mengelak penyakit itu daripada terus merebak.
Kanak-kanak yang mengalami gejala perlu dibawa ke klinik atau hospital berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan.
Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak mereka yang bergejala ke tempat awam, termasuk kolam renang, pasar, kompleks beli-belah, stesen bas dan lokasi lain.
-BTS Media